Pekebun durian haram dihalang masuk ke kebun

Polis berkawal ke laluan kebun durian selepas penduduk melakukan demonstrasi semalam

RAUB 25 Ogos - Lebih 200 pekebun kecil yang membentuk jawatankuasa khas Perikatan Selamatkan Musang King (Samka) bertindak mengadakan demonstrasi aman di Sungai Ruan semalam selepas kerajaan negeri mengambil alih kawasan berkenaan yang akan diuruskan sebuah syarikat.


Berdasarkan tinjauan hari ini mendapati pihak polis mengawal laluan ke kebun berkenaan dengan hanya membenarkan mereka yang mempunyai pas untuk masuk.

Difahamkan kerja-kerja mengukur dilakukan di dalam ladang seluas 11,000 ekar berkenaan.

Meskipun tiada kejadian tidak diingini tetapi berlaku sedikit pertengkaran antara penduduk dengan anggota polis  bertugas selepas penduduk mahu masuk ke dalam kebun.

Pengerusi Samka, Wilson Chang berkata, kira-kira 800 pekebun berasa kecewa apabila tanah yang diusahakan mereka sejak 40 tahun lalu diambil secara tidak adil.

"Pekebun-pekebun bukan sengaja menduduki secara tanpa permit mereka telah lama menggunakan saluran formal untuk memohon geran tanah ataupun permit tetapi permohonan mereka ditolak.

"Sebenarnya “pekebun tanpa permit” ini sebenarnya berjasa untuk menjadikan Raub sebuah “Bandar Musang King” serta menjadikan Raub pembekal “Musang King” utama di seluruh dunia yang mana durian yang dihasilkan oleh “pekebun tanpa permit” ini telah mengharumkan nama baik negara di pentas antarabangsa.

"Satu-satunya kesalahan pekebun ini adalah mereka tidak mempunyai permit atau geran walaupun permohonan kerap dilakukan. Pada saat ini kami tidak meminta simpati daripada kerajaan negeri, tetapi hanya meminta kerajaan negeri tidak berkomplot dengan syarikat swasta, menghambakan pekebun durian dan menggadaikan usaha mereka selama beberapa generasi,"katanya.